Monday 23 January 2012

Kisah Brunei dan Gagasan Malaysia


Sultan Omar Ali Saifudin menyokong gagasan ini tetapi Parti Rakyat Brunei (PRB) yang dipimpin oleh A.M. Azahari menentangnya. A.M. Azahari menentang gagasan ini kerana Brunei akan menjadi jajahan Malaysia. Beliau mahukan Brunei merdeka dahulu sebelum menyertai Malaysia. Beliau juga merancang menggabungkan Brunei, Sabah dan Sarawak menjadi Persekutuan Borneo Utara di bawah pimpinan Sultan Brunei. 

PRB menang dalam pilihanraya Majlis Daerah dan Majlis Undangan yang diadakan pada Ogos dan September 1962. Kemenangan ini menyakinkan Azahari bahawa rakyat Brunei turut menentang gagasan Malaysia. Selain itu, Azahari juga merasa dirinya kuat kerana Filipina dan Indonesia menyokongnya. 

Dengan keyakinan bahawa gagasan ini akan gagal, PRB melancarkan pemberontakan bersenjata pada 7 Disember 1962. Pemberontakannya ditumpaskan oleh Kerajaan Brunei dengan bantuan tentera dari British dan Tanah Melayu. Azahari melarikan diri ke Filipina dan mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri dan Sultan Omar Ali Saifudin sebagai Ketua Kerajaan Persekutuan Borneo Utara. 

Walaupun pada mulanya Sultan Brunei menyokong gagasan ini tetapi baginda telah menarik diri pada Julai 1963 kerana baginda tidak mahu membayar cukai hasil daripada pengeluaran minyaknya kepada kerajaan pusat Malaysia dalam tempoh 10 tahun. Selain itu, baginda juga tidak berpuas hati kerana diberi kedudukan yang paling rendah dalam senarai nama Sultan-sultan. Tambahan pula, rakyat Brunei juga tidak bersetuju menyertai Malaysia.

No comments:

Post a Comment