Friday 23 December 2011

Mengenali Adat Kami Orang Melanau

Majlis Perkahwinan

Majlis perkahwinan diadakan secara besar-besaran kecuali perkahwinan jenis 'peramas' iaitu per-kahwinan kerana ditangkap basah. Persiapan untuk rnajlis ini berlangsung beberapa hari lebih awal. Bakal pengantin lelaki dikehendaki menyerahkan hadiah mas kahwin iaitu 'penyekab' dan 'berian' dan hadiah lain seperti 'adat menuga', 'adat mebin' dan 'pakan' sehari sebelum majlis itu diadakan. Penyerahan ini disusul dengan acara pernikahan. Pernikahan boleh juga di-adakan pada pagi keesokannya iaitu pada hari diadakan majlis perkahwinan. Kenduri perkahwinan diadakan di rumah kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang dihadiri oleh sanak saudara, jiran dan sahabat handai.

Kemuncak acara majlis ialah persandingan yang biasanya diadakan pada tengah hari. Persandingan pertama diadakan di rumah pengantin lelaki dan ini diikuti dengan persandingan kedua di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki dan perempuan yang lengkap dengan pakaian tradisional bersanding di atas pelamin untuk disaksikan oleh para jemputan. Pada hari yang ditetapkan, bakal pengantin perempuan bersama-sama rombongan keluarganya pergi ke rumah pengantin lelaki. Ketibaan mereka disambut oleh keluarga pengantin lelaki. Wakil keluarga pengantin lelaki akan menghadiahkan 'adat pahe' kepada pengantin perernpuan. Penyerahan hadiah ini sangat penting kerana selagi pengantin pe-rempuan belum menerima hadiah tersebut, dia dilarang memakan sebarang makanan di rumah pengantin lelaki itu.

Selesai bersanding di rumah pengantin lelaki, diada-kan pula persandingan di rumah pengantin perempuan untuk menjalani 'adat petudui' iaitu penyerahan pelbagai barang, antaranya termasuklah sebentuk cincin emas dan seutas gelang perak oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Semasa menjalani adat ini, kedua-dua pengantin dikenakan pelbagai pantang larang, misal-nya tidak boleh mandi di sungai dan tidak boleh tidur pada waktu siang.

Pada sebelah malam, di rumah pengantin perempuan diadakan pula upacara makan nasi temuan. Semasa ja-muan berlangsung upacara suap-menyuap antara kedua-dua pengantin itu dilakukan. Selepas itu, diadakan pula upacara 'begendang', iaitu tari-menari. Hadirin dijemput untuk ikut serta tetapi pasangannya mestilah daripada kaum sejenis yakni lelaki berpasangan sesama lelaki dan perempuan dengan perempuan. Mereka menari hingga larut malam. Pada hari ketujuh, diadakan upacara mem-bebaskan mereka daripada pantang yang dikenakan. Upacara membuang pantang ini juga bertujuan untuk membuang ke laut segala bala atau bencana yang mung-kin mengancam pasangan suami isteri itu. Upacara ini sebenarnya lebih merupakan upacara bersukaria dan mandi-manda beramai-ramai di tepi pantai.

Bangsa Sembilan Pikul
Apabila hari perkahwinan akan dilangsungkan mas kahwin diberikan. Terdapat dua bahagian yang penting iaitu penyekab dan berian. Penyekab terdiri daripada sembilan amas emas, sebilah pedang, sehelai persarakap betabor (sapu tangan berebang emas dengan corak tertentu) dan sebuah tumo' (bekas diperbuat daripada kayu dalam bentuk tertentu). Berian pula terdiri daripada barang-barang tembaga kuning sebanyak sembilan pikul (133 paun x 9) atau harta lain yang senilai dengan harga barangan tersebut.

Keperluan-keperluan lain ialah Adat Menuga sebanyak satu pikul barangan tembaga kuning atau harta senilai sebagai syarat pengangkutan pengantin perempuan ke rumah lelaki pada hari perkahwinan. Adat Mebin adalah satu pikul barangan tembaga sebagai syarat untuk pengantin perempuan naik ke rumah pengantin lelaki apabila rombongan sudah sampai di rumah itu. Pakan pula hanya berupa duit mengikut kehendak pihak perempuan. Semua barangan hantaran akan disampaikan kepada pihak perempuan sehari sebelum tarikh perkahwinan.

Pada keesokkan paginya pengantin perempuan akan berangkat ke rumah pengantin lelaki. Pada masa yang sama rumah pengantin lelaki akan dihias dengan menarik dan kemudian pangkat pihak lelaki dipamerkan. Pada masa yang sama sembilan helai bendera akan dikibarkan, lima di hadapan rumah dan empat di sebelah jalan raya. Sebaik sahaja rombongan pengantin perempuan sampai, seorang wakil lelaki akan menghadiahkan sebuhuong pranakan siantan betabor (kain tenun berbenang emas dengan corak tertentu). Kemudian pengantin perempuan akan berdiri di atas batu asah yang disediakan sambil menyentuh kanan seni (tempayan). Wakil lelaki merenjis kedua-dua belah kakinya ke kiri. Setelah itu barulah wakil tersebut memberi hadiah kepada pengantin perempuan sebagai syarat Adat pahe'.

Terdapat tiga bentuk adat pahe' yang perlu disediakan oleh wakil pengantin lelaki iaitu pahe' Mukad yang merangkumi satu amas emas, sepasang gelang perak (batuong) dan sembilan biji manik (kehet). Pahe' Atap pula adalah terdiri daripada lima biji manik pasin. Pahe' Id adalah lima biji manik tebalan dan Pahe' Keman adalah lima biji manik pingeh yuong. Selepas itu upacara persandingan akan dilakukan di rumah pengantin lelaki.

Setelah beberapa lama pasangan pengantin akan pergi ke rumah pengantin perempuan untuk melangsungkan adat pedudui yang berkaitan dengan acara malam pertama sehingga hari ketiga. Antara barangan adat pedudui adalah seperti berikut:

  • Satu amas emas
  • Tujuh biji manik kehet
  • Lima manik tilak
  • Sepasang gelang perak
  • Empat bilah lembing
  • Dua belas belan
  • Sehelai kain lugi
  • Tiga ketul damar
  • Bagou tulei (bekas damar yang diperbuat daripada tembaga)
  • Bulang anyaman
  • Sebilah lembing untuk mengikis damar
  • Satu terusuong (seperti bentuk kon untuk ceduk air)

Barang-barang yang disediakan ini dimasukkan ke dalam bilik khas pengantin. Setelah itu pasangan pengantin akan masuk ke dalam bilik. Pengantin lelaki memberi cincin emas kepada pengantin perempuan. Kemudian pengantin lelaki memberi seutas gelang perak yang diikat dengan manik-manik dalam kain hitam kepada isterinya lagi. Mengikut tradisi masyarakat Melanau, pasangan pengantin yang baru berkahwin tidak dibolehkan keluar dari rumah selama sehari. Tempoh ini dinamakan sebagai adat pedudui yang mensyaratkan mereka tidak boleh mandi di sungai atau tidur pada waktu siang. Sungguhpun demikian pasangan tersebut bebas melawat rumah kedua-dua ibu bapa mereka.

Bangsa Tujuh Pikul
Perkahwinan untuk golongan berpangkat bawah dari Sembilan Pikul hampir sama. Cuma yang membezakan adalah dari segi jumlah mas kahwin sahaja. Penyekab terdiri daripada tujuh amas emas, sebilah keris, sehelai persarakab, sapu tangan berbenang emas dan sebuah tumo'. Berian pula terdiri daripada barangan tembaga kuning sebanyak tujuh pikul atau pelbagai jenis barangan lain yang senilai.
Adat Menuga' adalah sebanyak sepikul barangan tembaga kuning atau wang tunai. Pakan yang diberi dalam bentuk wang tunai mengikut jumlah yang ditetapkan oleh pihak perempuan. Semasa pengantin perempuan menaiki rumah lelaki, dia diberi sebuhuong pranakan bercura' (kain tenun berbenang emas dengan corak khas). Pahe' makad juga akan dihadiahkan kepada pengantin perempuan dengan mengandungi satu amas emas, tujuh biji manik kehet dan sepikul juga diberi bersama manik-manik dan diikat dalam kain hitam.
Dalam adat petudui katil akan disediakan empat bilah lembing. Kemudian tiga ketul damar disediakan bersama perkakas seperti bagou tulei, kila, sebilah mata lembing dan terusung. Minyak kelapa akan dimasukkan ke dalam tembikar kecil. Selain itu pengantin lelaki juga akan menghadiahkan isterinya dengan beberapa bentuk hadiah sebanyak satu amas emas, lima biji manik tilak, sepasang gelang perak dan bibe' kuali.

Bangsa Tujuh Beritih
Bagi golongan Tujuh Beritih adat pemberian mas kahwin adalah seperti sebentuk cincin yang diletakkan dalam bekas anak selapak, segantang padi diletakkan di dalam segamut yang tidak bertutup dan sebiji kelapa yang diletakan di dalam bukor dan ditudung. Penyekab pula terdiri daripada lima amas emas, sebilah keris, sebuah sipir, pinggan tembaga bergigi di sisi dan sehelai kain perasa. Berian pula terdiri daripada barang-barang tembaga kuning sebanyak tiga pikul sembilan puluh kati atau harta yang lain senilai dengan tembaga tersebut.
Adat Menuga pula adalah sebanyak sepikul barang tembaga kuning atau wang tunai yang sama nilai. Manakala pakan yang diberikan dalam bentuk wang tunai bergantung pada pihak perempuan. Semasa pengantin perempuan menaiki rumah pengantin lelaki, wakil pengantin lelaki akan diberi kain sebuhuong tanjing sarek. Pahe' mukad yang mengandungi satu amas emas, lima biji manik tilak yang diikat bersama bibe' kuali dan sepikul barang tembaga kuning (menuga).
Bagi adat petudui Tujuh Beritih, tiga ketul damar akan disediakan dengan bagou tulei, kila' (sebilah mata lembing) dan terusung. Barang-barang lain pula digunakan kecuali minyak kelapa yang diletakkan di dalam selepak sahaja. Adat lima beritih tidak wujud lagi di kalangan yang berkedudukan paling rendah. Ini disebabkan golongan seperti ini tidak wujud lagi dalam masyarakat Melanau.

Peraturan Dalam Perkahwinan
Oleh kerana perkahwinan merupakan satu institusi yang penting, terdapat beberapa peraturan dalam kehidupan mereka yang perlu diikuti oleh kedua-dua pasangan pengantin sama ada lelaki atau perempuan. Antara peraturan yang perlu diikuti oleh mereka ialah:
  • Setelah menjadi pasangan suami isteri, suami tidak boleh menetak bumbung rumah dengan parang kerana cara ini boleh menyebabkan hubungan renggang antara suami dan isteri.
  • Suami tidak boleh memerah kelapa yang sudah diparut kerana boleh menyebabkan perut isteri sakit atau memulas.
  • Pakaian yang dipakai semasa upacara perkahwinan tidak boleh dijahit walaupun koyak kerana boleh menyebabkan penyakit di kalangan suami isteri.
  • Isteri dilarang keras memarut rumbia atau menyeberangi sungai kerana akan jatuh sakit sehingga boleh menyebabkan anak di dalam kandungan keguguran.

No comments:

Post a Comment